IBU BAPA terlalu ghairah mahu anak mereka memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta kononnya lebih berstatus berbanding institusi kemahiran atau teknikal.
Namun, mereka lupa lambakan graduan IPT awam atau swasta setiap tahun menyebabkan berlaku pengangguran membimbangkan di kalangan graduan.
Justeru, jika sebelum ini ibu bapa berlumba-lumba mahu anak melanjutkan pengajian ke universiti, cuba ubah mentaliti itu.
Masih belum ada jaminan peluang kerjaya cerah jika keluar sebagai graduan universiti kerana majikan kini bersikap lebih selektif.
Bukan saja kelayakan diambil kira malah kebanyakan mencari tenaga kerja berkemahiran meskipun tidak mempunyai keputusan cemerlang.
Mengakuinya, Ketua Pegawai Operasi Akademi Binaan Malaysia (ABM), Wilayah Utara, Ir Zainol Abdin Ishak, berkata meskipun kelayakan adalah asas utama, kebanyakan majikan kini semakin mempercayai keupayaan pelajar dilahirkan institusi kemahiran.
Menurutnya, perbezaan taraf kelayakan bukan lagi menjadi isu utama kerana majikan lebih mementingkan kualiti, keupayaan dan kemampuan tenaga kerja diambil bagi memastikan sasaran perniagaan mampu dicapai.
"Boleh dikatakan kebanyakannya lebih menumpukan pada kemahiran.
"Tidak lagi wujud diskriminasi, pandangan rendah atau kelas kedua pada pelajar institusi kemahiran malah ada segelintirnya lebih laku di pasaran kerjaya.
"Senario ini sewajarnya mampu membuka pandangan masyarakat dan ibu bapa supaya mengubah mentaliti sebelum ini. Tidak bermakna jika gagal masuk universiti, masa depan gelap," katanya.
Pandangan skeptikal masyarakat terhadap bidang kemahiran bukan baru malah sering disogokkan bidang itu hanya untuk mereka yang gagal.
Manakala ibu bapa dan masyarakat pula sering menganggap anak yang gagal dalam peperiksaan atau tidak belajar di universiti sebagai tidak berjaya dan tidak mempunyai masa depan.
Dalam menanganinya, Zainol berpendapat, ibu bapa dan masyarakat perlu membuka minda dan melihat kebaikan bidang itu dari sudut berbeza seperti kepentingannya dalam melaksanakan tugas separa profesional.
Menurutnya, peningkatan permintaan sektor kerjaya seperti industri perkilangan, automotif dan pembinaan terhadap pelajar lulusan kemahiran sudah membuktikan kecemerlangan mereka meskipun bukan dari segi akademik.
"Bukan bererti graduan yang dilahirkan di universiti atau kolej tidak bagus namun skop kepentingan dalam sesuatu bidang kerjaya perlu diambil kira. Contohnya dalam industri automotif, ada jurutera tapi siapa pula yang membantu dalam aspek pemasangan berbentuk separa teknikal.
"Justeru, tidak benar pelajar kemahiran tiada masa depan. Yang penting, mereka mahu berusaha dan membuat persediaan awal. Jika sudah tiada minat belajar, cari alternatif lain berdasarkan minat.
"Saya percaya, pelajar ini memang berbakat dalam aspek kemahiran berbanding akademik," katanya.
Beliau berkata, tanggapan pusat latihan kemahiran bertaraf kampung wajar dikikis kerana piawaian diperolehi sudah mendapat pengiktirafan.
Penawaran pelbagai kursus yang diwujudkan bagi menampung permintaan pelbagai cabang kerjaya juga menjadi bukti pusat latihan kemahiran mempunyai peranan besar menyumbang pada ekonomi sesebuah negara.
"Walaupun kebanyakan pelatih lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hasil daripada kursus diikuti mampu memberi penawaran kerja.
"Justeru, jangan mudah melabelkan golongan ini dengan tanggapan negatif sebaliknya mengiktiraf sumbangan mereka dalam menjana pembangunan negara.
"Lebih membanggakan apabila peratus pengangguran dikalangan pelajarnya rendah berbanding siswazah lepasan universiti," katanya.
Ketua Bahagian Teknologi Plastik Institut Latihan Perindustrian (ILP), Jitra, Kedah, Ir Mohammad Jefri Jaafar, berkata peningkatan permohonan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran menunjukkan masyarakat semakin yakin dengan kemampuan institusi itu.
"Dulu, sambutannya dingin, bagaimanapun kesedaran sudah semakin meningkat meskipun ada juga yang masih sukar mengikis tanggapan itu.
"Tidak kira di institusi mana kita belajar asalkan mempunyai jaminan masa depan," katanya.
Kesimpulannya korang fikirla sendiri ok =) Assalamulaikum.....komen la beb....


0 comments:
Post a Comment